Powered By Blogger

Sunday 5 June 2011

Teknologi Implan koklea mengatasi masalah pendengaran...

Pendengaran yang baik menyebabkan kita hidup sebagai manusia sempurna yang diciptakan oleh Allah tetapi kita akan rasa kekurangan dan tidak sempurna jika kita tidak mempunyai pendengaran yang sempurna malahan tanpa pertuturan yang baik sudah tentu kehidupan seharian tidak dapat dijalankan dengan sempurna.

Di Malaysia dianggarkan setiap tahun lebih kurang 2,500 bayi dilahirkan menghadapi masalah pendengaran dan purata yang mengalami masalah ini ialah tiga kes bagi setiap 1000 kelahiran dan berdasarkan perangkaan daripada Kementerian Kesihatan seramai 440 ribu orang atau dua peratus daripada 22 juta rakyat Malaysia menghadapi masalah pendengaran.

Ramai antara ibu bapa tidak mengetahui masalah pendengaran sebenarnya boleh dikesan diperingkat awal iaitu melalui ujian pendengaran yang boleh dilakukan ke atas bayi di hospital-hospital tetapi malangnya sesetengah ibu bapa kurang peka tentang hal ini dan mereka hanya menyedari anak mereka menghadapi masalah pendengaran apabila mereka sudah remaja, tetapi waktu ini sudah agak terlewat.sehingga Mei 2011, di kebanyakan hospital utama Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM), telahpun mempunyai audiologis, yang berkepakaran dalam mengenalpasti anak-anak anda mempunyai masalah pendengaran atau tidak.

Kini hasil daripada teknologi yang canggih dalam bidang perubatan, maka masalah pendengaran ini boleh di atasi dengan penggunaan teknik implan koklea. Teknik ini sebenarnya telah lama dipraktikkan dan dimulakan sejak tahun 1985 di Melbourne, Australia yang dikenali sebagai pacakan koklea tetapi di negara kita pembedahan pertama yang menggunakan teknik implan koklea dijalankan ke atas seorang pelajar dari Kelantan, Ang Boon Su, pada 13 Disember 1995 .

Pakar Perundingan Kanan Otorinolaringologi dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Profesor Dr Lokman Saim, menyatakan masalah pendengaran dikalangan bayi boleh diatasi jika mereka mendapat rawatan awal iaitu sebelum mencecah umur empat tahun dan penggunaan alat bantuan pendengaran termasuk implan koklea harus digunakan dari awal bagi mengelakkan dari masalah untuk belajar bertutur.

Implan koklea merupakan alat bantuan pendengaran yang memberi rangsangan auditori kepada mereka yang mengalami masalah pendengaran sensorineural yang sangat kritikal pada kedua-dua belah telinga. Ia mempunyai dua bahagian iaitu internal – elektrod, penerima dan magnet perangkai yang ditanam dibelakang telinga dan bahagian kedua ialah eksternal – pemproses pertuturan, set kepala dan aksesori.

Implan koklea merupakan teknologi  yang menggunakan bahan yang mudah untuk diterima oleh badan dan ia tidak mendatangkan kesan alergi malah tahan sepanjang hayat.

Alat implan ini akan diaktifkan setelah tiga hingga empat minggu tempoh pembedahan berlaku bagi memastikan luka daripada pembedahan tersebut benar-benar telah sembuh dan pesakit juga perlu menjalani proses pemulihan dan terapi termasuk pemetaan, latihan auditori serta terapi pertuturan dalam masa tiga tahun. sesi ini akan dikendalikan oleh audiologis dan terapis pertuturan yang terlatih. Dalam tempoh ini ibu bapa sangat digalakkan menemani anak-anak mereka kerana sokongan keluarga dapat meningkatkan kemahiran bertutur pesakit.

Namun begitu tidak semua masalah pendengaran memerlukan implan koklea kerana hanya mereka yang tidak boleh mendengar langsung dan mengalami masalah perndengaran yang teruk akan dinasihatkan agar menjalankan pembedahan implan koklea kerana pembedahan ini memerlukan kos yang agak mahal iaitu RM80,000 setiap unit termasuk kos pemulihan.

Terdapat beberapa faktor yang menjadi punca kepada masalah pendengaran pada bayi antaranya ialah
1. Ketika mengandung - ibu mendapat jangkitan virus rubella, demam campak, demam panas serta mengambil ubat autotoksik.
2. Ketika bersalin – bayi dilahirkan tidak cukup bulan, berat kurang dari 1.8kg, tidak cukup bekalan oksigen dan air ketuban memasuki paru-paru bayi.
3. Selepas bersalin – bayi mendapat jangkitan virus rubella, demam campak, beguk, jaundis yang teruk dan meningitis.
4. Halangan cecair dalam telinga, jangkitan kuman, gegendang berlubang,kerosakan urat, bunyai bising yang keterlaluan dan kekotoran tersekat di dalam telinga.

Teknologi pembedahan implan koklea ini telah banyak membantu pesakit yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan. Oleh itu, pendedahan dan kepekaan ibu bapa terhadap masalah ini dapat membantu anak-anak mereka mendapat bantuan di peringkat awal dan masalah pertuturan dapat dikurangkan.




1 comment:

  1. salam, saya nak tanya pakai implan koklea nie ada pantang larang sperti mandi kolam dan lain2. boleh senaraikan larangannya

    ReplyDelete